MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer berharap benteng pertahanannya lebih ampuh selepas kehadiran semula tonggak berpengaruh, Eric Bailly yang sedia diturunkan pada aksi bertemu Sheffield United awal pagi esok.
Bagaimanapun, Solksjaer belum pasti untuk mengambil risiko dengan menurunkan Bailly bagi digandingkan bersama Harry Maguire atau mengekalkan kombinasi kapten pasukan itu bersama Victor Lindelof.
Kata Solksjaer, Bailly sudah cergas sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami sebelum ini tetapi saya masih belum pasti sama ada khidmatnya diturunkan pada aksi bertemu Sheffield nanti.
“Secara jujur, saya tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkan Bailly terlalu awal memandangkan dirinya baru sahaja pulih daripada kecederaan. Mungkin dia akan disenaraikan di bangku simpanan,” katanya.
Sementara itu, Bailly mengakui terdesak untuk membantu skuad The Red Devils tampil lebih cemerlang dan konsisten dalam usaha memburu kejuaraan EPL buat kali pertama sejak musim 2013.
“Saya semakin gembira bersama United dan ini kali pertama saya memiliki perasaan seperti ini khususnya selepas berjaya mempamerkan aksi konsisten bersama pasukan sebelum ini.
“Cuma, beberapa siri kecederaan telah menjejaskan sedikit rentak saya dalam usaha membantu pasukan yang tampil cemerlang yang kini memburu kejuaraan EPL musim ini.
“Namun, saya perlu kekal tenang kerana peluang untuk saya diturunkan sangat cerah memandangkan kami mengharungi jadual padat musim ini,” katanya. – AGENSI