SEPANG – Mengecap manis seketika, pelakon dan pelawak Along Cham mendedahkan anak tunggalnya, Ahmad Daniel kecewa dengan kemelut dalam rumah tangganya dan isteri, Afreena Suhaimi.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, berkata, dia memahami proses perceraian di mahkamah syariah memberi kesan terhadap puteranya itu yang mendambakan kasih seorang ibu.
“Selepas lapan tahun perceraian dengan bekas isteri (Zila Saeron) pada 2016, hak penjagaan Daniel memang sepenuhnya kepada saya kerana nusyuz tetapi saya tak pernah halang ibu kandungnya berjumpa.
“Cuma, dia (Zila) datang jumpa anak setahun selepas cerai sahaja iaitu ketika Daniel umur lapan tahun. Jadi, saya harap perkahwinan kedua ini dapatlah Daniel kasih seorang ibu semula.
“Dengan apa yang berlaku dalam perkahwinan saya sekarang, Daniel kecewa, tapi saya percaya dia tetap seorang anak yang kuat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelakon filem Adnan Sempit itu ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Sepang bagi pengesahan lafaz taklik terhadap isterinya, namun kes ditangguhkan ke 8 Mei depan.
Menurut Along lagi, bagi menggembirakan semula anaknya, dia hanya menitipkan pesanan agar remaja terbabit menyibukkan diri dengan aktiviti di sekolah.
Terdahulu, tuntutan pengesahan lafaz cerai melanggar taklik difailkan Along ditangguhkan Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi kepada tarikh baharu berikutan maklumat dokumentasi yang tidak lengkap.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan bekas isteri pertama, Zila. – KOSMO! ONLINE