SEPANG -Ibu kepada pelakon dan pelawak Along Cham, Siti Habsah Kadir mendedahkan tidak bercakap dengan anak sulungnya itu sejak dia berkahwin semula pada tahun lalu.
Lebih selesa tidak mengulas mengenai hal tersebut, wanita berusia 64 tahun itu mendakwa timbul salah faham dalam keluarga mereka yang berpunca dengan kenyataan dikeluarkan isteri Along, Afreena Suhaimi.
“Saya tidak pernah pilih siapa menantu saya. Siapa yang anak saya pilih, saya terima seadanya. Antara kami (dengan Afreena) tiada masalah.
“Apa yang dia (Feena) beritahu kepada media tentang keluarga Along, dia sahaja yang tahu. Cuma dia buat kesilapan terhadap keluarga saya hingga Along benci keluarga sendiri.
“Setahun kami tidak jumpa kerana terkilan. Apa yang berlaku terlalu peribadi, itu sahaja saya boleh cerita,” katanya kepada Kosmo! Online di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Terkilan dengan situasi dilalui, Habsah memilih enggan masuk campur dalam urusan perkahwinan Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42.

Begitupun, jauh di sudut hati sebagai seorang ibu dia tidak ingin melihat rumah tangga yang dibina puteranya musnah kurang daripada setahun.
“Selepas Along berkahwin saya tidak masuk campur, pandai-pandailah Along hendak melentur rumah tangga dia.
“Sebenarnya sedih tengok anak jadi begini, bukan saya minta. Bukan saya suka, saya tak suka, saya sedih sangat-sangat,” kongsinya yang turut menitiskan air mata.
Sementara itu, Along memaklumkan terpaksa membuka mulut apabila nama ibunya turut terkena tempias serta kecaman ramai yang tidak mengetahui cerita sebenar.
“Saya bukan kaki sebar aib rumah tangga sendiri. Kali ini ibu saya dituduh bukan-bukan, dicanang kepada jiran, apalah agaknya perasaan seorang ibu.
“Saya ada isteri tapi saya terlepas salam raya dengan ibu, tidak dapat berpeluk dengannya sedangkan reda Allah terletak pada reda ibu.
“Saya bersyukur, sebelum salah seorang pejam mata, kami kembali bersama. Bagaimana bentuk keadaannya, itu semua perancangan Allah,” ujarnya.
Kemelut rumah tangga antara selebriti terbabit membawa kepada permohonan pengesahan lafaz taklik yang disebut di mahkamah hari ini, namun ditunda ke 8 Mei depan berikutan kesilapan Along mengisi dokumen tuntutan. – KOSMO! ONLINE