KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan pembangunan tenaga nuklear di negara ini akan dikendalikan dengan selamat sekiranya Malaysia memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan penjanaan elektrik.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang ketika memberi jaminan itu berkata, kementeriannya akan turut memastikan pembangunan teknologi nuklear itu dikendalikan dengan selamat dan mematuhi Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304)
“Pada masa ini kementerian dalam proses meminda Akta 304 bagi memperkukuh infrastuktur perundangan berkaitan keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan bahan dan kemudahan nuklear.
“Ia mengambil kira pembangunan teknologi nuklear bagi tujuan penjanaan elektrik selaras dengan standard keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh negara-negara anggota IAEA,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Nelson W Angang adakah pelan perancangan untuk tenaga nuklear akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Terdahulu, Lih Kang berkata, RMK13 masih di peringkat libat urus dengan semua pemegang taruh dan perancangan penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga baharu turut dibincangkan dalam libat urus itu.
Bagaimanapun, katanya, perancangan mengenai penggunaan tenaga nuklear memerlukan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti pilihan teknologi bersesuaian daripada aspek keselamatan dan ekonomi.
Kata beliau, berdasarkan garis panduan “IAEA Milestone Approach”, pelbagai isu infrastruktur dalam negara perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pemerolehan teknologi melibatkan tenaga nuklear.
Jelas beliau, Jabatan Tenaga Atom bertanggungjawab merangka pelan tindak balas kecemasan bagi menangani sebarang insiden melibatkan bahan radioaktif dan nuklear.
“Ini termasuk latihan serta simulasi bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi insiden nuklear bersama agensi berkaitan,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, Nuklear Malaysia tersedia kepakaran dalam pengoperasian reaktor penyelidikan Trigapuspati lebih 40 tahun melibatkan penggunaan dan penyeliaan bahan nuklear dan bahan radioaktif.
Jelas beliau, aktiviti kawal selia fasiliti itu dilaksanakan oleh pasukan yang bertanggungjawab yang dilantik mengikut peraturan dan perundangan sedia ada.
Ujar beliau, pengalaman sepanjang mengendalikan reaktor penyelidikan itu dapat digunakan dalam kawal selia nuklear jika Malaysia menggunakan nuklear di dalam penjanaan kuasa elektrik.
“Sebagai langkah pemantauan risiko pencemaran radioaktif, MOSTI telah memasang peralatan pemantauan sinaran seperti Environmental Radiation Monitoring System (ERMS) dan Spectroscopic Water Gamma Monitoring Station (SWGMS) di beberapa lokasi strategik negara di darat dan di perairan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE