GEORGE TOWN – Siasatan terhadap doktor pakar sebuah hospital kerajaan di sini yang disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa ketiga masih diteruskan meskipun tempoh reman ke atasnya berakhir hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Menurutnya, suspek berusia 43 tahun itu ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) sejurus tempoh reman selama empat hari berhubung kes melibatkan mangsa kedua tamat hari ini.
“Suspek ditangkap semula bersangkut dengan laporan kes ketiga dan suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan selesai.
“Tangkapan semula suspek adalah untuk melengkapkan kertas siasatan kes ini dan setakat ini dia tidak akan direman,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, suspek ditahan kali pertama pada 26 Februari lalu atas dakwaan berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja, namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman Ahad minggu lalu.
Bagaimanapun, dia ditahan semula Khamis lalu selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang pesakit wanita warga tempatan di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus, tahun lalu.
Jumaat lalu, seorang lagi wanita warga asing tampil membuat laporan polis selepas mendakwa turut untuk menanggalkan pakaian ketika melakukan pemeriksaan jantung di sebuah hospital pada 20 Februari lalu.
Suspek turut mengarahkan mangsa berlari setempat selain merakam tindakan tersebut menggunakan telefon bimbit. – KOSMO! ONLINE