KUANTAN – Seorang mekanik maut selepas motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas ke tengah jalan di Kilometer 211 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 di sini malam semalam.
Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ cedera parah selepas merempuh motosikal mangsa yang terbabas di tengah jalan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang maut, Irwan Kamarol Hisham Mohammad Sharani,42, dalam perjalanan dari arah Temerloh ke Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika sedang bergerak lurus tiba-tiba dipercayai motosikal mangsa hilang kawalan dan mangsa terjatuh ke penghadang jalan manakala motosikal terbabas ke tengah jalan.
“Kemudian datang sebuah lagi motosikal jenis Yamaha RXZ dari arah belakang telah terlanggar motosikal mangsa yang berada di tengah jalan hingga mengakibatkan kemalangan ini berlaku,”katanya di sini hari ini.
Katanya, akibat kejadian mangsa yang terjatuh di atas penghadang jalan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa mengalami cedera parah.
Menurutnya mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di Hospital KPJ Kuantan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan. – KOSMO! ONLINE