fbpx

Gaji punca rakyat Malaysia tidak minat kerja bidang tertentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Faktor gaji antara punca rakyat Malaysia tidak berminat untuk bekerja dalam sesuatu bidang atau syarikat.

Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong berkata, faktor lain adalah berkenaan suasana, keadaan kerja dan ‘work life balance’.

“Terdapat banyak faktor. Tugas Kesuma membantu menggalakkan syarikat melaksanakan dasar yang mampu menarik rakyat Malaysia bekerja dengan mereka.

“Ini termasuk dasar atau program untuk menyeru kembali bakat Malaysia di luar negara,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk C. Sivaraj berhubung pelan strategik kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor kritikal.

Terdahulu, Steven Sim berkata, kerajaan secara berterusan merangka pelbagai perancangan strategik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Menurutnya, kerajaan turut merangka pelbagai strategi untuk meningkatkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan dengan gaji berpatutan dalam pasaran buruh.

Antara inisiatif dilaksanakan adalah mengekalkan keputusan pada 18 Mac 2023 berhubung pembekuan kelulusan kuota pekerja asing baharu dan melaksanakan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat (MTLM) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kurang mahir.

Katanya, strategi seterusnya menggalakkan industri beralih kepada penggunaan automasi dan teknologi canggih yang akan meningkatkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi.

“Kerajaan turut mengutamakan ‘exit policy’ penggajian pekerja asing dengan menyediakan pelan latihan kemahiran kepada pekerja tempatan.

“Selain itu, memberi keutamaan kepada penggunaan mekanisme sistem binaan berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan, peralihan kepada intensif mekanisasi dan automasi, restoran berkonsepkan layan diri dan sebagainya.

“Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk warga tempatan juga diperkasakan bagi melahirkan individu berkemahiran tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10000 milliseconds with 0 bytes received