PETALING JAYA – Singapura sekali lagi menjadi destinasi pilihan penganjuran konsert penghibur antarabangsa terkenal apabila diva pop Lady Gaga mengumumkan akan mengadakan persembahan secara eksklusif di republik itu selama empat hari.
Gaga atau nama sebenarnya, Stefani Joanne Angelina Germanotta, 39, bakal mengadakan konsert mega di Stadium Nasional Singapura pada tanggal 18, 19, 21 dan 24 Mei depan bersempena dengan peluncuran album studio terbaharunya, MAYHEM yang dilancarkan baru-baru ini.
“MAYHEM Singapura! Singapore National Stadiuam 18, 19, 21 dan 24 Mei,” tulis pelantun lagu Bad Romance itu menerusi media sosialnya.
Difahamkan, kerajaan Singapura membuat perjanjian dengan pengurusan Gaga untuk tidak menganjurkan konsert jelajah dunia di mana-mana negara Asia Tenggara kecuali di republik itu.
MAYHEM merupakan album studio ketujuh Gaga yang memuatkan 14 buah trek termasuk Die With A Smile (with Bruno Mars) dan Abracadabra yang kini menjadi siulan ramai peminat di seluruh dunia.
Sebelum ini, konsert jelajah penyanyi popular dunia, The Eras Tour Taylor Swift mencetuskan polemik selepas Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mendakwa bahawa siri konsert diadakan secara eksklusif di Singapura dan mengecualikan negara-negara lain di rantau ASEAN.
Pemilikan hak eksklusif konsert tersebut yang diadakan di Singapura telah memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi dan industri pelancongan negara itu.
Dianggarkan konsert itu akan memberi sumbangan ekonomi yang besar, dengan anggaran keuntungan antara AS$260.3 juta hingga AS$371.9 juta, atau sekitar RM1.2 bilion hingga RM1.7 bilion. – KOSMO! ONLINE