KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melumpuhkan sindiket penyeludupan ganja dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak yang menggunakan perkhidmatan kurier melalui mod udara dengan mengikrar sebagai barang dagangan.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata, ia susulan kejayaan dua rampasan berasingan melibatkan ganja seberat 7.108 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM244,340 pada 3 Februari lalu, yang menggunakan modus operandi sama.
Katanya rampasan pertama dilakukan oleh sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik JKDM Sarawak ke atas satu kotak bungkusan di sebuah syarikat kurier di Jalan Song, di sini.
“Pemeriksaan rapi dilakukan ke atas kotak bungkusan tersebut membawa kepada penemuan ganja yang dibungkus dengan pembalut coklat, kerajang aluminium dan bungkusan plastik.
“Jumlah keseluruhan ganja yang dirampas dianggarkan seberat 4.926 kilogram dengan anggaran nilai sebanyak RM147,780,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam kes berasingan, beliau berkata, pegawai dari Cawangan Narkotik JKDM Sarawak telah merampas satu bungkusan di premis sama dan pemeriksaan menemukan lima bungkus ganja yang dibungkus dengan pembalut coklat dan tiga dibungkus dalam kerajang aluminium, dengan anggaran berat keseluruhan 2.182kg bernilai RM96,560. – KOSMO! ONLINE