KUCHING – Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai selepas terjatuh dari atas bangunan sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 12.08 malam dan mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap tanpa baju dan hanya berseluar panjang hitam.
“Paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang sampai di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Mangsa rakyat tempatan berusia dalam lingkungan 20-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, HUS untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi Ketua Balai Polis Sekama, Asisten Superintendan Simon Renang di talian 016-8547803 atau Balai Polis Sekama 082-332522 atau tampil di balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE