PETALING JAYA – Amaran angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan selatan Samui, utara Tioman, utara Bunguran, barat daya Reef North dan Sulawesi sehingga Selasa ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori kedua) di bahagian timur laut yang berkelajuan 50-60 kilometer/jam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di kawasan perairan Condore dan barat laut Reef North.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori ketiga) turut dikeluarkan iaitu angin kencang timur laut melebihi 60 kmsj dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka di kawasan perairan timur laut Condore.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” jelas kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE