HARRISBURG, PENNSYLVANIA – Sebuah pesawat ringan terhempas dan meletup di kawasan parkir sebuah rumah persaraan dalam nahas yang mengakibatkan lima orang cedera, lapor akhbar The Sun UK.
Perkhidmatan kecemasan tiba di kejiranan Manheim tersebut dalam negeri Pennsylvania, ketika asap tebal menjulang ke udara kelmarin.
Pesawat jenis Beechcraft Bonanza itu terhempas di Rumah Pesaraan Kampung Brethren kira-kira pukul 3.18 petang (waktu tempatan).
Polis berkata, pesawat itu cuba mengelak daripada melanggar struktur bangunan, menyebabkannya melanggar kenderaan yang diparkir.
“Lima kereta rosak teruk akibat kejadian itu, manakala sebilangan lagi terbakar,” kata polis.
Ketua Bomba Perbandaran Manheim, Scott Little berkata, kesemua lima penumpang yang cedera dibawa ke hospital tetapi tidak memberikan maklumat terkini keadaan mereka.
Tiada mangsa di darat cedera dan tiada bangunan yang rosak.
Menurut perbualan Kawalan Trafik Udara (ATC), juruterbang memberitahu menara kawalan Lapangan Terbang Lancaster bahawa pintu pesawat terbuka, justeru dia perlu berpatah balik untuk mendarat.
ATC membenarkan pesawat kembali dan menggesa juruterbang menaikkan altitud pesawat, namun beberapa saat kemudian, kapal terbang itu terhempas. – AGENSI