KUALA LUMPUR – Seorang pelanggan meluahkan rasa kecewa selepas membeli kuih keria yang dikatakan terlalu keras di sebuah bazar Ramadan dekat Ampang di sini semalam.
“Allah uji sebb Allah sayang,” luahnya menerusi catatan di ruang kapsyen selepas memuat naik video keadaan kuih tradisional tersebut.
Kejadian itu dikongsikan di media sosial menggunakan akaun TikTok @mnyoongi_ dan telah menarik perhatian ramai netizen sehingga meraih lebih 566,000 tontonan.
Dalam video yang dikongsikan, pelanggan terbabit berulang kali mengetuk kuih tersebut, namun masih gagal untuk dipatahkan kerana terlalu keras.
Seorang netizen berkongsi pengalaman hampir sama di ruangan komen memaklumkan dia pernah membeli pulut udang bakar keras dari bazar Ramadan.
“Kecewa pada puasa pertama, bila semangat nak makan pulut udang bakar, gigit sahaja rasa nak terlerai gigi sebab keras. Harap peniaga lebih teliti dalam menyediakan makanan,” kata @Firooz.
“Ingatkan 2025 hidup je keras, kuih keria pun keras,” seloroh @paan.
“Bahan-bahan kuih keria, 1 kilogram (kg) gula pasir, 1kg simen,” perli @becaantik.
“Risau nak makan, takut tinggal gusi je,” kata @yayanalah. – KOSMO! ONLINE
@mnyoongi__Allah uji sebab allah sayang 😔✊🏽