PETALING JAYA – Pelakon Fattah Amin sekali lagi menjadi sorotan apabila secara tidak sengaja memanggil penyanyi Amira Othman dengan panggilan ‘yang’ lazimnya singkatan perkataan sayang dalam sesi siaran langsung di TikTok ketika menghadiri sebuah festival di Singapura, baru-baru ini.
Dalam video tular, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, menyapa peminat dalam siaran langsung tersebut sebelum tiba-tiba menyebut panggilan istimewa itu kepada Amira yang tidak melihat kamera ketika itu.
“Tengoklah ni, Yang…” ujar Fattah sebelum terdiam seketika.
Amira yang jelas terkejut terus memandang pelakon Suri Hati Mr Pilot itu, namun kedua-duanya hanya mampu tersenyum.
Tidak menunggu lama, peminat membanjiri ruangan komen dengan pelbagai reaksi nakal dan usikan mesra terhadap mereka.
“Aduhai, sekali tersasul habis kantoi satu Malaysia!, kahwin sajalah lagipun dua-dua tiada berpunya,” komen netizen.
“Fattah, kalau hati dah suka, tak boleh sorok lama-lama, tengok tu Allah tunjuk terus tersasul, kelakar tengok reaksi Amira,” tulis seorang pengguna TikTok.
Sebelum ini, duda terhangat itu menegaskan hubungannya dengan Amira sekadar rakan sekerja dan menolak dakwaan mereka bertunang secara rahsia.
Namun, selepas kejadian tersasul ini, peminat nampaknya semakin yakin bahawa ada sesuatu yang istimewa antara mereka. – KOSMO! ONLINE.