SERDANG – Tidak banyak syarikat tempatan khususnya daripada kelas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang begitu serius terhadap aspek kajian dan pembangunan (R&D) bagi memastikan produk yang ditawarkan di pasaran benar-benar berkualiti dan selamat digunakan oleh pelanggan.
Salah sebuah syarikat yang menyedari manfaat tersebut, Naturmeric telah mengorak langkah berani untuk membawa sumber bahan mentah produk keluarannya ke Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menjalani kajian dan pembangunan (R&D) secara komprehensif.
Pengarah Eksekutif Kumpulan, Ahmad Radhi Zakaria memilih kunyit hitam (curcuma caesia) sebagai bahan mentah untuk dikaji bagi menghasilkan produk berasaskan herba ekoran keberkesanan bahan tersebut yang membantu meningkatkan tahap kesihatan dirinya sebelum ini.
Mahu berkongsi pengalaman, rahsia dan rezeki bersama masyarakat termasuk usahawan di pasaran untuk jangka masa panjang, beliau berkeyakinan bahawa ini adalah langkah tepat bagi syarikat untuk memberi nilai tambah kepada produk yang bakal diperkenalkan di pasaran tidak lama lagi selepas selesainya kajian berkenaan.
Meskipun ia melibatkan sejumlah kos pelaburan yang besar tapi demi untuk merealisasikan misi tersebut, Ahmad Radhi tidak menoleh kebelakang lagi, malah lebih bersemangat untuk melihat hasilnya nanti.
“Proses R&D tersebut telah dijalankan di Institut Biosains di universiti berkenaan bertujuan untuk memastikan produk Naturmeric dikaji secara menyeluruh bertujuan untuk meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk tersebut.
“Sehingga kini, produk Naturmeric masih melalui kajian intensif bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya,” katanya pada satu sidang akhbar yang diadakan di institut tersebut di UPM baru-baru ini.
Proses kajian berkenaan telah diketuai oleh Prof. ChM. Dr. Intan Safinar Ismail.
Tambah beliau, proses penyelidikan tersebut akan berterusan sehingga ke peringkat kajian klinikal, yang mana ujian akan dilakukan ke atas manusia untuk mengkaji tindak balas tubuh terhadap manfaat kunyit hitam.
Ahmad Radhi menjelaskan, untuk menghasilkan produk bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia mengambil kira aspek keselamatan dan ketulenan agar tiada isu yang tidak diingini berlaku di masa hadapan.
Sementara itu, Intan Safinar yang berpengalaman dalam bidang berkenaan dan telah mengetuai lebih daripada 10 projek penyelidikan mengenai kunyit hitam sepanjang kerjayanya dalam bidang akademik berkata, melaksanakan kajian daripada satu-satu jenis herba bukanlah semudah keringkan daun dan masukkan ke dalam uncang teh dan dijual.
“Kami sedang mengorak langkah sehingga mencapai hasil kepada penyelidikan klinikal yang mana peringkat pertama kami akan melalui proses in vitro di mana sela tau enzim diasingkan daripada badan dan melihat daripada satu organisma.
“Kemudian langkah kedua adalah praklinikal ke atas Zebra Fish, sejenis ikan yang mempunyai genetic ‘make up’ 70 peratus seperti manusia dan sehingga ke peringkat seterusnya.
“Kami percaya tanpa bukti saintifik, produk tidak boleh ke depan.
“Ia harus bermula dengan ketulenan kerana ia sangat penting dalam penghasilan produk.
“Maklumat yang salah adalah satu jenayah bagi saya. Pengusaha produk perlu mementingkan medicine security kerana keselamatan pengguna sangat penting.
“Saya sendiri tidak percaya kepada testimoni. Kami menjalankan kajian dari 2021 sehingga 2023 hanya untuk memeriksa ketulenan kunyit hitam,” jelasnya yang kini menyertai Naturmeric sebagai Pengarah Penyelidikan.
Dalam pada itu, Ahmad Radhi menjelaskan, selain daripada memastikan kajian berjalan lancar, cabaran lain yang dihadapi nya adalah untuk mendapatkan bekalan kunyit hitam kerana herba ini berasal dari Madhya Pradesh, India dan ia sukar diperoleh.
“Sebagai langkah strategik, syarikat sedang mengusahakan ladang penanaman kunyit hitam seluas 40 hektar di Johor Bahru.
“Dengan ini, kami dapat memastikan bekalan herba ini sentiasa mencukupi tanpa perlu bergantung kepada bekalan import,” ujarnya yang juga turut mengendalikan sebuah agensi berkaitan insurans sejak sembilan tahun lalu.
Ahmad Radhi mengakui bahawa membina kepercayaan dalam industri kesihatan adalah satu cabaran besar, memandangkan Naturmeric masih baharu di pasaran tetapi pihaknya yakin produk yang berkualiti pasti akan mendapat tempat di hati pengguna.
“Produk Naturmeric yang sedang kami bangunkan ini telah disahkan 100 peratus mengandungi kunyit hitam tulen oleh UPM.
“Kami berharap kajian ini berjalan lancar supaya kami dapat membantu lebih ramai orang meningkatkan kesihatan secara semula jadi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE