LONDON – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya kini terpaksa berjuang untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selepas tewas 0-1 kepada Nottingham Forest kelmarin.
Pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, gol tunggal yang dijaringkan oleh Callum Hudson-Odoi sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penting buat tuan rumah di Stadium City Ground.
Kata Guardiola, masih ada baki 10 perlawanan untuk memulihkan semula maruah pasukan selepas hampir pasti gagal mempertahankan kejuaraan EPL yang dimenangi sejak empat tahun lalu.
“Saya rasa kami perlu gandakan usaha kerana sasaran utama untuk layak ke saingan UCL musim depan semakin sukar dan ganjaran itu tidak akan turun dari langit.
“Ketika ini kami kekal di kedudukan keempat tetapi apa sahaja boleh berlaku dan saya mahu pasukan kembali fokus untuk meraih kemenangan pada aksi bertemu Brighton, Sabtu ini,” katanya.
Sementara itu, Guardiola enggan menyalahkan penjaga gol, Ederson kerana gagal mengawal gawang dengan baik sehingga rembatan Hudson-Odoi mudah menerjah jaring ketika saingan berbaki kurang 10 minit terakhir.
“Saya tidak pernah salahkan pemain. Secara keseluruhan, saya rasa ini adalah perlawanan yang sengit tetapi kami juga tidak beraksi dengan baik dan pergerakan pemain juga sangat perlahan ketika melakukan serangan,” katanya. – AGENSI