fbpx

The Saujana Hotel KL tawar ruang privasi, premium khusus untuk wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bilik yang selesa dengan hiasan dalaman mewah dan eksklusif serta diselit dengan dekorasi berwarna lembut yang memberi pengalaman menarik kepada pengunjung hotel khususnya wanita.

Agak terpencil daripada kesibukan dan kesesakan jalan raya dari ibu kota, The Saujana Hotel Kuala Lumpur diibaratkan sebagai permata yang tersembunyi, namun tersimpan sebuah destinasi yang sangat menerujakan untuk menawarkan satu pengalaman dan mengagumkan buat para pengunjungnya.

Terletak di Shah Alam yang mengambil masa sekadar lima minit dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, hotel berkenaan menawarkan satu perkhidmatan unik khususnya bagi kaum wanita kerana ia menyediakan Ladies’ Executive Floor bersesuaian untuk memenuhi permintaan daripada golongan itu yang mahukan ruang privasi dengan aras khusus untuk mereka dengan tahap keselamatan yang tinggi.

Mencari kelainan daripada pesaing lain, Pengurus Besarnya, Jasmine Ong Li melihat kemudahan itu menjadi satu nilai tambah kepada hotel berkenaan sekali gus memberi penghormatan tertinggi buat wanita yang mahukan ruang bersantai bagi mereka yang lebih suka bersendirian, ruang percutian khusus bersama teman-teman wanita, rakan sekolah dan juga ruang masa bercuti bagi ibu dan anak perempuan.

“Kami percaya bahawa inovasi ini akan menetapkan standard baharu dalam industri perhotelan di Malaysia dan menjadi pilihan utama bagi wanita yang mencari pengalaman yang lebih eksklusif dan bermakna.

“Ladies’ Executive Floor bukan sekadar bilik hotel tetapi ia adalah satu simbol gaya hidup dan penghormatan kepada wanita moden,” katanya dalam satu temu bual melalui e-mel.

KOSMO!: Bagaimana da­tangnya idea untuk menawarkan perkhidmatan ruangan khusus untuk wanita?
Jasmine Ong Li: Sebagai sebuah hotel bertaraf antarabangsa yang memahami keperluan pelanggan, kami sentiasa mencari cara untuk memperkayakan pengalaman tetamu.

Idea untuk memperkenalkan Ladies’ Executive Floor ini lahir daripada keinginan untuk mewujudkan ruang yang lebih eksklusif, selesa dan selamat bagi wanita, terutama mereka yang sering me­lakukan perjalanan untuk urusan perniagaan atau percutian peribadi.

Kami memahami bahawa wanita moden hari ini menghargai ruang yang elegan, privasi, dan kemudahan yang meme­nuhi gaya hidup mereka.

Oleh itu, setiap butiran dalam konsep ini telah dirancang dengan teliti iaitu daripada reka bentuk dalaman yang mewah, kemudahan premium, hingga pengalaman peribadi yang memberi ketenangan dan keistimewaan kepada tetamu wanita kami.

Adakah ia ditawarkan dalam tempoh terhad atau dikekalkan?
Ladies’ Executive Floor bukan sekadar inisiatif sementara, tetapi merupakan salah satu elemen jangka panjang dalam strategi hospitaliti premium di hotel ini.

Kami percaya permintaan untuk pengalaman yang disesuaikan khas untuk wanita semakin me­ningkat dan dengan sambutan positif yang diterima, kami komi­ted untuk mengekalkan serta terus menambah baik kemudahan ini.

Hotel ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat penginapan tetapi juga sebagai ruang inspirasi bagi wanita-wanita yang ingin menikmati perkhidmatan eksklusif yang mengutamakan keperluan mereka.

Adakah ini satu kelainan terbaharu untuk menarik minat pengunjung kerana hotel ini agak terpencil sedikit daripada aspek promosinya berbanding hotel lain?
The Saujana Hotel Kuala Lumpur sentiasa dikenali sebagai permata tersembunyi iaitu sebuah destinasi eksklusif yang menawarkan ketenangan dalam suasana resort tetapi masih berada dalam lokasi strategik berdekatan pusat bandar.

Pelancaran Ladies’s Executive Floor adalah satu langkah strategik untuk membezakan hotel kami daripada pesaing dan menarik segmen pasaran ­premium. Kami yakin bahawa konsep ini akan menjadi tarikan utama kepada pelancong wanita yang mencari pengalaman mewah dan personalisasi.

Apakah sasaran pihak hotel terhadap perkhidmatan ini dan adakah ia akan mendapat sambutan baik daripada pasaran?
Sejak pengumuman perkhidmatan ini, kami telah menerima maklum balas yang sangat positif serta pertanyaan daripada pelbagai segmen pelanggan, termasuk syarikat korporat yang ingin menyediakan penginapan eksklusif untuk eksekutif wanita mereka.

Adakah ia hanya untuk wa­nita berkerjaya dan menjawat jawatan eksekutif? Bagaimana pula suri rumah tangga sepenuh masa atau mereka yang berjawatan rendah di syarikat, termasuk juga usahawan? Adakah mereka juga boleh menikmati kemudahan tersebut?
Kami percaya bahawa setiap wanita layak menikmati pengalaman hospitaliti bertaraf dunia, tidak kira status atau latar belakang profesional mereka. Ladies’s Executive Floor terbuka kepada semua wanita yang menginginkan suasana yang le­bih privasi, selesa dan eksklusif ketika menginap di hotel kami.
Sama ada mereka seorang eksekutif korporat, usahawan, profesional bebas atau sesiapa sahaja yang ingin menikmati pengalaman mewah dalam suasana yang lebih selamat dan santai, kami mengalu-alukan kehadiran mereka. Wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat berhak mendapatkan pengalaman ini.

 

Dengan adanya perkhidmatan terbaharu ini, apakah sasaran peningkatan kadar penginapan di hotel ini?
Pelancaran Ladies’s Executive Floor adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kami untuk meningkatkan kadar penginapan dan nilai jenama The Saujana Hotel Kuala Lumpur.

Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk hospitaliti premium yang memenuhi keperluan khusus tetamu, kami menjangkakan peningkatan kadar penginapan sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus dalam segmen pasaran ini dalam tahun pertama pelaksanaannya.

Selain itu, kami juga melihat potensi besar untuk bekerjasama dengan syarikat korporat, agensi pelancongan serta komuniti wanita berpengaruh untuk memperkenalkan konsep ini kepada lebih ramai pelanggan. Ladies’ Executive Floor bukan sekadar bilik hotel tetapi ia adalah simbol gaya hidup dan penghormatan kepada wanita moden. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI