KETUA jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen menegaskan Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao tidak boleh dibandingkan secara langsung menjelang saingan All England di Utilita Arena Birmingham minggu depan.
Menurut Jonassen, kedua-dua pemain memiliki karakter serta pendekatan berbeza di gelanggang, justeru beliau lebih menumpukan perhatian terhadap perkembangan individu masing-masing tanpa membuat perbandingan.
Bagi Jun Hao, edisi kali ini akan menjadi penampilan sulungnya di kejohanan berprestij tersebut, manakala Zii Jia sudah pun menempatkan namanya dalam sejarah dengan kejuaraan pada 2021 dan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya tidak akan membandingkan mereka. Fokus saya terhadap Jun Hao, menilainya dari satu perlawanan ke perlawanan berikutnya,” kata Jonassen.
Jurulatih dari Denmark itu turut mahukan Jun Hao menampilkan permainan yang lebih tenang sambil mengekalkan corak agresif menerusi variasi pukulan yang mampu mengganggu rentak lawan.
“Saya fikir dia mempunyai gaya permainan yang bagus. Apabila mendapat rentak yang betul, dia mula agresif dan menunjukkan perkembangan yang baik dalam beberapa gaya permainan,” tambahnya.
All England dijadualkan berlangsung 12 hingga 16 Mac ini dengan aksi pusingan pertama menyaksikan Zii Jia berdepan pemain Hong Kong, Ng Ka Long, manakala Jun Hao bakal diuji bintang Indonesia, Jonatan Christie.
Dua wakil negara bakal menghadapi cabaran getir, namun setiap perlawanan akan menjadi pengalaman berharga terutama buat Jun Hao yang sedang membina momentum di pentas antarabangsa.