fbpx

Komitmen, mentaliti Faisal Halim luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL (tengah) meraikan jaringan pertamanya ketika menewaskan KDN FC kelmarin. - SHIDDIEQIIN ZON

KETUA jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menganggap Faisal Halim sebagai pemain yang luar biasa selepas meledak hatrik membantu pasukan menang 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada aksi Liga Super kelmarin.

Menurut Kinoshi, mentaliti positif dan komitmen penuh diberikan Faisal sepanjang sesi latihan membawa pulangan berbaloi selepas menamatkan kemarau jaringan hampir setahun bersama Gergasi Merah.

“Saya berpuas hati dengan prestasi Faisal kerana tiga gol dijaringkan luar biasa. Dia sentiasa memberikan 100 peratus pada sesi latihan walaupun kurang mendapat minit permainan sebelum ini.

“Namun, dia sentiasa faham masanya akan tiba dan saya tahu dia mahu beraksi dengan lebih kerap. Kali ini, saya gembira dia dapat menunjukkan keupayaan sebenar di hadapan penyokong.

“Saya harap dia dapat teruskan momentum sama ketika menentang pasukan yang lebih kuat kerana dia sentiasa menjadi contoh buat pemain muda,” kata pengendali dari Jepun itu.

Sebagai rekod, Faisal yang berdepan detik hitam dalam hidupnya apabila disimbah asid pada Mei tahun lalu terpaksa berehat hampir tiga bulan selepas menjalani beberapa siri pembedahan sebelum dibenarkan kembali beraksi di atas padang.

Pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu turut menzahirkan ucapan terima kasih buat semua penyokong dan peminat yang diakui menjadi kekuatan kebangkitan dirinya.

Kata Faisal, hatrik tersebut hadiah bermakna buat rakyat dan penyokong bola sepak Selangor selain pihak pengurusan yang sentiasa berada di belakang ketika berdepan detik sukar.

“Terima kasih kepada rakyat Selangor, tiga gol ini. Tiga gol untuk anda semua, rakyat Selangor dan pasukan Selangor. Terima kasih kepada kawan-kawan, pengurusan dan penyokong penyokong Selangor,” katanya.

Kemenangan besar itu bukan sahaja mengesahkan kedudukan Selangor selaku naib juara Liga Super musim ini, malah kejayaan itu turut meraih tiket ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) buat musim kedua berturut-turut.

Pada perlawanan di Stadium MB Petaling Jaya itu, Faisal dilihat tidak mempunyai masalah memastikan Selangor berpesta gol hasil jaringan pada minit ke-13, m-45 dan m-66.

Empat lagi gol disudahkan oleh Quentin Cheng pada minit ke-31, Aliff Izwan (m-73) dan dua lagi sumbangan jaringan menerusi pemain pertahanan, Harith Haiqal (m-54, m-56).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI