LONDON – Sebuah bekas bilik mayat di Suffolk, England yang dibina pada tahun 1930-an akan dilelong pada harga antara £60,000 (RM340,000) hingga £80,000 (RM460,000), lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Menawarkan skop untuk pembangun imaginatif, The Old Mortuary memberi perkhidmatan kepada penduduk tempatan semasa Perang Dunia Kedua apabila Anglia Timur mengalami beberapa serangan udara yang dahsyat.
Tidak diketahui bila kali terakhir hartanah itu beroperasi, namun ia mengekalkan ciri-ciri asal termasuk lantai konkrit kosong, dinding bata bercat putih dan dua set pintu berkembar di hadapan bangunan.
Ia mempunyai dua bilik dengan tingkap besar. Bilik yang lebih kecil mengandungi singki dan pernah menjadi bilik pengawetan, demikian menurut firma lelongan Auction House.
“Rumah mayat bersejarah ini mempunyai potensi yang luar biasa untuk pembangunan semula seperti ruang komersial kreatif atau bengkel.
“Hartanah seperti ini jarang dilelong, menjadikan lelongan ini prospek yang menarik untuk pembeli yang berpandangan luas,” kata Pengurus Kawasan Auction House, Hannah Turner.
Tambahnya, sekiranya mendapat kelulusan pihak berkuasa, tapak tersebut yang dijual secara pegangan bebas juga boleh diubah menjadi ruang pejabat, perniagaan pengebumian atau premis komersial lain. – AGENSI