MULANYA dicemuh tetapi lama-kelamaan melekat dalam kepala. Itu yang diakui segelintir netizen apabila lagu Raya Gen Z nyanyian Qadejah Aliff Syukri, Alyssa Dezek, Ara Aziz dan Cik B mula menjadi siulan ramai.
Jika dilihat pada ruangan komen, ramai yang memberi respons negatif tetapi rezeki kuasa tular membuktikan lagu tersebut berjaya mendapat tempat dalam hati umum.
Menurut Qadejah atau nama sebenarnya Qadejah El Zahra, Raya Gen Z dihasilkan hanya untuk sebuah program televisyen yang melibatkan mereka berempat tetapi tidak menyangka meledak dalam media sosial sekelip mata.
Meskipun bukan seorang penyanyi, Qadejah bersetuju untuk terlibat dalam lagu tersebut kerana digandingkan dengan tiga lagi gadis yang disifatkan satu kepala dan menyeronokkan.
“Projek ini seronok sebab kami sekufu dari segi pemikiran. Rasa gembira bila jumpa geng yang sekepala.
“Tiada masalah pun nak cari keserasian sebab masing-masing saling memahami,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran lagu tersebut di ibu negara, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Qadejah bersyukur menerima tip daripada Alyssa dan Cik B yang berpengalaman sebagai seorang penyanyi.
“Saya tak pandai pun menyanyi tetapi mereka semua banyak tolong dan ajar saya untuk berani lontarkan suara.
“Projek ini sangat seronok, nantikan pula program kami pula keluar,” katanya yang turut ‘berperang’ lagu raya dengan bapanya, Datuk Aliff Syukri ketika ini.
Bagi Ara, 14, pula, dia menerima nasihat daripada bapanya yang juga pengarah, Aziz M. Osman agar tidak mempedulikan semua kecaman negatif diterima selepas lagu tersebut tular dalam media sosial.
“Ibu saya iaitu Puteri Lily Lokman merupakan produser lagu ini dan dia sudah mendengar Raya Gen Z terlebih dahulu tetapi tidak menjangka akan tular sebegini. Ayah pula pesan agar jangan hiraukan semua komen negatif sebab bagi saya sasaran lagu ini generasi seusia kami, bukannya golongan dewasa,” ujarnya.
Sementara Cik B atau nama sebenarnya Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, 19, berkata, dia tidak mempunyai masalah sepanjang proses rakaman lagu tersebut.
“Ini lagu raya keempat saya, bahagian rap pula memang senang sahaja. Proses rakaman juga berjalan dengan lancar. Hubungan saya dengan Qadejah, Alyssa dan Ara sangat baik sepanjang tempoh penggambaran program ini termasuk rakaman lagu,” jelasnya.
Cik B juga mengakui gandingan mereka terutama untuk lagu tersebut menyerlahkan lagi sisi kewanitaannya.
“Projek ini saya seronok untuk terlibat sama sebab selalunya ada kawan lelaki sahaja tetapi sekarang sudah dapat kawan perempuan. Dapat tunjukkan sisi kewanitaan itu.
“Kami pun sudah ada WhatsApp group. Mereka kawan-kawan yang baik dan memang buat saya seronok tahun ini. Mereka sangat memahami saya. Mama pula sangat menyokong apa sahaja yang saya buat selagi saya suka dan gembira,” ujarnya lagi.
Lagu Raya Gen Z dihasilkan oleh Haziq Ikram, Danish Norr dan Puteri Lily Lokman. Sejak dilancarkan pada 1 Mac lalu, video muzik Raya Gen Z sudah meraih lebih 70,000 tontonan dalam YouTube.