KOTA BHARU – Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV di sini yang terjejas akibat 26 buah khemah tumbang dalam kejadian ribut awal pagi semalam mula dibuka semula pada petang ini.
Penganjurnya, Tun Ahmad Luqman Tun Mohammad berkata, perniagaan di tapak itu berjalan seperti biasa selepas kerja-kerja membaik pulih dilakukan tidak sampai tempoh 24 jam.
Katanya, selain itu, peniaga yang terjejas akibat khemah tumbang turut membantu mengalihkan barangan perniagaan seperti meja dan lain-lain peralatan.
“Kerja membaik pulih khemah bermula pukul 9 malam semalam sehingga 2 pagi tadi. Semua berjalan dengan lancar dan kos baik pulih ditanggung khemah itu ditanggung oleh pihak penganjur.
“Alhamdulillah, semua peniaga di bazar tersebut dapat berniaga semula hari ini selepas kita membuat pengumuman menerusi kumpulan WhatsApp pada pukul 2 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, selain itu, bahagian atap tambahan khemah hadapan yang turut rosak akan dipasang dalam masa terdekat sementara menunggu barangan tersebut yang dipesan dari China tiba. – KOSMO! ONLINE