KEMAMAN – Panggilan telefon daripada salah seorang jiran menyelamatkan seorang wanita yang sedang sarat hamil sembilan bulan dan suaminya daripada terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan tujuh deret rumah teres dua tingkat di Taman Alam Perdana, Binjai di sini semalam.
Ahmad Zul Wafi Mohd. Sitara, 27, berkata, sewaktu kejadian pada pukul 7.30 pagi tersebut, dia dan isteri, Nor Athirah Che Hasan, 27, sedang nyenyak tidur di bilik tidur terletak di tingkat dua setelah selesai solat subuh dan sahur.
“Mujurlah saya tidak letakkan telefon bimbit dalam mod senyap. Saya terjaga daripada tidur sebaik terdengar deringan panggilan daripada jiran.
“Dia beritahu bahagian hadapan rumah saya sedang marak terbakar, saya yang terkejut melihat kepulan asap tebal dan percikan api mula menyelubungi rumah segera menggerakkan isteri bangun untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika Kosmo! di Taman Alam Perdana di sini hari ini.
Ahmad Zul Wafi berkata, dia memimpin isteri keluar dari rumah yang sedang marak terbakar menggunakan pintu belakang dan kebakaran tersebut telah memusnahkan dua buah kereta serta sebuah motosikal.
“Kami keluar sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan apa-apa termasuk persiapan menyambut bayi baharu. Apa pun syukur saya dan isteri selamat. Saya hanya memikirkan keselamatan isteri yang dijadual bersalin minggu depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE