fbpx

Tangguh perjalanan, berbuka puasa di Sungai Golok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Pejabat Daerah Sungai Golok, Thailand yang musnah ekoran insiden letupan bom pada malam tadi. FOTO POLIS SUNGAI GOLOK

KOTA BHARU – Orang ramai terutamanya rakyat Kelantan dinasihatkan agar menangguhkan hasrat untuk berkunjung atau berbuka puasa di Wilayah Selatan Thailand susulan letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Sungai Golok, Thailand malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, penduduk yang mempunyai urusan penting dan tidak dapat dielakkan bagaimanapun dinasihatkan supaya berhati-hati sepanjang berada di negara berkenaan.

Menurutnya, tidak dinafikan ada dalam kalangan rakyat Kelantan yang masuk ke Selatan Thailand termasuk di pekan Sungai Golok untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan.

“Saya tidak boleh halang mereka daripada berkunjung ke sana (Selatan Thailand). Cuma, mereka perlu berhati-hati dengan situasi dan keadaan ketika ini.

“Jadi, saya nasihatkan agar tangguh dahulu perjalanan ke Selatan Thailand kerana keadaan masih ‘panas’ dengan kejadian letupan bom,”katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, dua anggota sukarelawan pertahanan terkorban manakala lapan cedera dalam insiden letupan bom di Sungai Golok, Thailand semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7.10 malam waktu tempatan itu berlaku semasa sekumpulan lelaki bersenjata menaiki dua kenderaan pacuan empat roda sebelum menyerang Pejabat Daerah Sungai Golok.

Timbalan Ketua Polis Sungai Golok, Leftenan Kolonel Polis Nitti Suksang mengesahkan kumpulan itu melepaskan tembakan dan melontar bom tangan ke arah sukarelawan pertahanan yang sedang bertugas.

“Dalam serangan itu, dua anggota sukarelawan pertahanan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga cedera parah dan lima cedera ringan.

“Kesemua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Sungai Golok,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI