KOTA BHARU – Pekan Sungai Golok, Thailand malam tadi digegarkan dengan kejadian letupan bom dan berbalas tembakan di depan Pejabat Daerah Sungai Golok.
Kejadian kira-kira pukul 7.10 malam waktu tempatan itu berlaku selepas umat Islam berbuka puasa dan bersiap-siap untuk menunaikan solat isyak dan solat tarawih.
Sumber polis Sungai Golok berkata, dua sukarelawan polis Thailand yang dikenali sebagai Muhammad Sabri Naswan,40, dan Phayipim, 32, terbunuh akibat terkena letupan bom.
Menurutnya, lapan individu lagi cedera selain dua penduduk tempatan yang tinggal berhampiran lokasi itu cedera dalam kejadian tersebut.
“Insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.
Letupan bom dan berbalas tembakan semasa bulan Ramadan di Wilayah Selatan Thailand bukan satu insiden baharu apabila kejadian sama yang paling tragis berlaku di Tak Bai pada 24 Oktober 2004.
Kejadian pada 11 Ramadan kira-kira 21 tahun lalu mengorbankan lebih 80 orang penduduk yang beragama Islam sekali gus dikenang sebagai tragedi berdarah Tak Bai sehingga ke hari ini.
Pada 20 Mei 2018, 20 butir bom yang kebanyakannya menyasarkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) meletup di beberapa wilayah di selatan Thailand.
Kejadian letupan bom itu berlaku pada hari keempat Ramadan kira-kira pukul 7 malam di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla
Setahun selepas itu, dua termasuk seorang remaja manakala 14 lagi cedera dalam satu kejadian letupan bom di pasar Ramadan di Pattani pada 27 Mei 2019.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.15 petang waktu Thailand semasa orang ramai sedang membeli juadah berbuka puasa di Pekan Bo Thong, Nong Chik di Pattani.
Insiden tersebut merupakan antara kejadian letupan yang berlaku di Wilayah Selatan Thailand semasa bulan Ramadan.
Secara hakikatnya, insiden letupan bom sering berlaku di wilayah tersebut dalam tempoh setahun.
Sebelum kes di Sungai Golok semalam, dua mangsa yang juga anggota polis peronda maut dalam letupan bom di Jalan Si Sakhon, Narathiwat pada 14 Januari lalu.
Kereta dinaiki kedua-dua anggota polis itu diserang dengan bom sebelum ditembak dari jarak dekat dan suspek turut melarikan dua pistol milik mangsa.
Pada tahun lalu, dua sekeluarga yang merupakan wanita rakyat Malaysia termasuk seorang yang sedang sarat mengandung terkena letupan bom semasa mereka sedang bersiar-siar di tapak ekspo di Jalan Phu Pha Phakdi, Narathiwat pada 6 Mei.
Kejadian kira-kira pukul 9.35 malam waktu Thailand itu mengakibatkan Siti Aishah Ismail, 31, cedera ringan pada bawah dagu selepas terkena cebisan letupan bom selain bengkak di kepala manakala kakak iparnya, Hariza Aziz 38, yang mengandung tujuh bulan mengalami sesak nafas. – KOSMO! ONLINE