PETALING JAYA – Gosip percintaan penyanyi dan pelakon Bella Astillah dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bukan hanya menjadi buah mulut di negara sendiri tetapi sudah ‘terbang’ sehingga ke Korea Selatan.
Perkara tersebut terbukti selepas sebuah portal hiburan negara tersebut iaitu Koreaboo melaporkan tentang gosip cinta Bella dan Syed Saddiq semalam.
Menerusi artikel berjudul ‘Divorced actress’s rumored new boyfriend swims
across the sea for her’ (teman lelaki baharu pelakon bercerai dikhabarkan berenang menyeberangi lautan untuknya), Koreaboo melaporkan tentang video yang dimuat naik Syed Saddiq iaitu ketika terjun ke laut sebelum berenang menuju ke Bella yang menantinya di Semporna, Sabah baru-baru ini.
Dalam laporan sama, Koreaboo turut menceritakan serba sedikit latar belakang Bella termasuk cerita kontroversi perceraian dengan bekas suami, Aliff Aziz.
Bukan hanya Bella, cerita mengenai Syed Saddiq turut dimuatkan dalam artikel berkenaan dan tidak ketinggalan tentang kes mahkamah melibatkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Artikel tersebut turut menyelitkan mengenai kenyataan ibu Syed Saddiq iaitu Sharifah Mahani yang menyamakan kisah cinta anaknya seperti Romeo dan Juliet.
Sementara dalam ruangan komen, netizen teruja apabila pasangan kegemaran mereka yang digelar sebagai BASS (Bella Astillah Syed Saddiq) meraih perhatian portal antarabangsa.
“Sudah sampai ke Korea BASS kita. Lipat sahajalah bumi ini.
“Lain macam dan kuat sunggu aura BASS. Semoga gosip cinta mereka berakhir ke jenjang pelamin.
“BASS mendunia. Memang dahsyat betul penangan mereka, sampai ke Korea,” komen netizen.
Sejak kebelakangan ini, hubungan rapat kedua-dua figura popular terbabit semakin hangat diperkatakan selepas masing-masing dipilih menjadi duta jenama pakaian.
Mereka dilihat banyak meluangkan masa bersama, malah turut berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah, baru-baru ini.
Syed Saddiq juga pernah muncul dalam muzik video lagu nyanyian bekas isteri kepada pelakon Aliff Aziz itu yang berjudul Tapi Bukan Denganmu. – KOSMO! ONLINE