EDINBURGH – Sebuah resort golf milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Scotland diconteng dengan lukisan grafiti pro-Palestin, dengan sebuah kumpulan penunjuk perasaan mengaku bertanggungjawab.
Akhbar Arab News melaporkan, Trump Turnberry diconteng dengan beberapa warna cat di berbilang lokasi beserta slogan termasuk ‘Bebaskan Gaza’ dan ‘Bebaskan Palestin’.
Slogan ‘Gaza bukan untuk dijual’ turut ditulis pada salah satu laman hijau, manakala lubang digali di laluan itu.
Kumpulan Palestine Action berkata di platform X: “Ketika Trump cuba memperlakukan Gaza seolah-olah miliknya, dia harus tahu bahawa hartanya sendiri boleh diganggu.”
Sementara itu, Polis Scotland berkata, ia sedang menyiasat insiden tersebut.
“Sekitar pukul 4.40 pagi (waktu tempatan) pada hari Sabtu, 8 Mac 2025, kami menerima laporan mengenai kerosakan padang golf dan sebuah premis di Maidens Road, Turnberry,” kata jurucakap Polis Scotland. – AGENSI