KOTA BHARU – Dua anggota polis Thailand dipercayai maut dalam insiden letupan bom dan tembak-menembak di Sungai Golok sebentar tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.20 malam waktu Malaysia berlaku di kawasan Sungai Golok dekat kawasan ‘check point’ berdekatan dengan pasar raya Big C.
Portal berita tempatan di Thailand, Big News melaporkan, dua anggota polis yang meninggal dunia dikenali Muhammad Sabri Naswan dan Paipim meninggal dunia dalam insiden tersebut.
Memetik hantaran portal itu, lapan lagi individu dipercayai cedera dalam kejadian itu.
Insiden tersebut tidak melibatkan rakyat Malaysia.

Susulan daripada kejadian itu, beberapa laluan di Sungai Golok dipercayai ditutup untuk siasatan lanjut.
Insiden itu turut menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan sempadan Malaysia-Thailand terutamanya di Rantau Panjang dekat sini dikejutkan dengan letupan bom selepas waktu berbuka puasa. – KOSMO! ONLINE