KAJANG – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa terkejut susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan kes rasuah.
Dr. Mahathir berkata, sebarang pertuduhan perlu dibawa ke mahkamah dan individu yang terlibat berhak untuk mempertahankan diri.
“Kita tunggu proses mahkamah. Saya tidak boleh kata sama ada wang itu milik Ismail Sabri atau tidak, biarlah mahkamah yang menentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Bersama Anak Yatim anjuran Yayasan Amal Malaysia di sini hari ini.
Dr. Mahathir turut mengimbau situasi serupa selepas kekalahan Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14, apabila pelbagai barangan mewah turut ditemui di kediaman bekas Perdana Menteri itu.
“Saya terkejut, sama seperti dahulu apabila barang-barang Najib dirampas selepas kekalahan beliau. Namun akhirnya, kita lihat bagaimana kesudahan kes tersebut,” ujarnya.
Beliau turut menyindir perkembangan semasa dengan merujuk kepada penarikan balik beberapa pertuduhan melibatkan ahli politik tertentu.
“Kita tidak tahu undang-undang apa yang digunakan. Ada yang sebelum ini didapati bersalah, tetapi akhirnya bebas,” katanya.
Pada 2 Mac lalu, SPRM mengesahkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera disiasat pihak berkuasa itu berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa Ahli Parlimen Bera itu ketika menerajui kerajaan. – KOSMO! ONLINE