KUCHING – Kerajaan dalam peringkat akhir memuktamadkan perjanjian dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan peruntukan untuk kawasannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Syed Saddiq telah menghantar surat rasmi dan bertemu dengannya mengenai perkara itu, namun setakat ini tiada maklum balas diterima daripada Ahli Parlimen lain.
“Hanya beliau (Syed Saddiq) memberi maklum balas. Yang lain-lain saya belum terima,” katanya ketika ditemu bual selepas menyempurnakan Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra DBKU di Kompleks Sukan Satok, Jalan Muhibbah di sini hari ini.
Sebelum ini, Syed Saddiq dilaporkan mengakui terpaksa menjadi model baju raya sebuah jenama fesyen bagi mendapatkan sumbangan untuk pengundi di kawasan parlimennya.
Mengulas isu membabitkan penyampai radio Era FM didakwa menyinggung sensiviti masyarakat khususnya kaum India, Fadillah berkata, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyeru semua lapisan masyaraka tanpa mengira latar belakang, agama, kebudayaan atau kepercayaan supaya mengelakkan perkara yang sensitif termasuk menyentuh kepercayaan atau amalan budaya orang lain. – KOSMO! ONLINE