PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di 12 negeri sehingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, cuaca buruk itu melibatkan kawasan seluruh Perlis dan Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu).
Ujarnya, ribut petir turut melanda Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan).
“Di Perak kawasan yang dijangka hujan lebat adalah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Batang Padang dan Muallim.
“Ribut petir turut melanda Kelantan melibatkan kawasan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, MetMalaysia berkata hujan lebat melanda Pahang melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan.
“Antara kawasan terlibat di Selangor adalah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang. Hujan juga melanda Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau).
“Seluruh Melaka dijangka hujan diikuti dengan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru),” kata MetMalaysia.
Dalam pada itu, MetMalaysia berkata Sarawak diramal hujan lebat dengan melibatkan kawasan Sri Aman (Lubok Antu), Sibu, Kapit dan Miri (Telang Usan).
“Di Sabah antara kawasan yang terlibat dengan cuaca buruk pula adalah Pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Ranau) dan Sandakan (Tongod, Telupid, Kinabatangan dan Beluran),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE