SHAH ALAM- Bulan puasa memberi rezeki buat pelakon popular, Zara Zya yang menjual kambing perap bakar di Bazar Ramadan Jalan Kebun di sini.
Menurut Zara, drama Dia Imamku hasil lakonannya secara tidak langsung menjadi promosi percuma untuk menarik peminatnya berkunjung ke gerai kambing perap bakar tersebut.
“Dalam drama Dia Imamku, saya bawa watak Lily yang menjual nasi lemak untuk menanggung keluarga, tetapi di sini (bazar ramadan) saya jual kambing perap bakar.
“Pelanggan mengusik saya mengapa tidak jual nasi lemak hari ini,” katanya ketika ditemui di gerainya di bazar Ramadan Jalan Kebun kelmarin.
Pemilik nama lengkap Zainurul Razia Mohd.Zainuddin, 40, itu berkata, sebelum ini dia diuji dengan masalah kesihatan sehingga perlu menjalani pembedahan pada Mei tahun lalu.
Zara turut dirawat akibat masalah sakit tulang belakang atau sindrom lumbar facet.
Mengulas mengenai keadaan kesihatannya, Zara memberitahu, dia tidak mengambil tawaran berlakon pada bulan Ramadan kerana ia memerlukan banyak tenaga untuk memenuhi komitmen lakonan.
“Tahap kesihatan, alhamdullillah semakin baik. Lagipun Zara buat bisnes untuk seronok sahaja, saya tidak mahu berasa ‘down’, tidak mahu fikirkan sangat (soal sakit). Zara masih makan ubat dan jalani rawatan susulan,” katanya.
Tambah Zara, dia tinggal bersama keluarganya di Kota Kemuning dan kambing perap bakar tersebut mendapat sambutan hangat biarpun baru enm hari dijual di bazar Ramadan.