PELARI sensasi negara, Shereen Samson Vallabouy tidak perlu beralih ke acara pecut 100 meter (m) memandangkan atlet berusia 27 tahun itu berada di landasan tepat dalam kategori 400m.
Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, tiada keperluan untuk pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu beralih ke 100m kerana sudah berada dalam landasan terbaik bagi acara 400m.
Menurut Ballard, tumpuan utama Shereen kekal dalam 400m memandangkan pelari berusia 27 tahun tersebut mendapat tiket beraksi di Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia Nanjing, China dari 21 hingga 23 Mac ini.
“Dia sudah berada dalam acara betul. Seperti mana-mana pelari 400m yang hebat, mereka perlu memiliki catatan masa 100m yang baik, kerana ia membantu meningkatkan masa keseluruhan acara 400m,” kata Ballard.
“Kami sangat teruja dan berharap Shereen dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang di sana. Perkara paling penting ialah jika dia dapat menghampiri rekod kebangsaannya, itu akan menjadi sesuatu yang luar biasa.
“Dia memegang rekod kebangsaan dalam dewan dengan catatan 52.27 saat (s) dan kami berharap dia dapat mencatat masa yang hampir dengan rekod tersebut,” katanya.
Shereen yang juga pemegang rekod 400m kebangsaan dengan catatan 51.79s kini menjalani latihan di Amerika Syarikat dan dijangka berlepas bersama jurulatihnya pada 17 Mac ini.
Selain Dalam Dewan Dunia, Shereen juga dijangka menyertai Kejohanan Trek dan Padang Asia serta Sukan SEA Thailand 2025 sebagai medan penting untuk terus mengukuhkan namanya sebagai ratu 400m Asia Tenggara.