LONDON – Ketumpulan penyudah Cole Palmer sejak kebelakangan ini langsung tidak merisaukan pengurus Chelsea, Enzo Maresca menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City di Stamford Bridge malam ini.
Palmer, 22, berjaya meledak 14 gol daripada 27 perlawanan EPL musim ini, namun sentuhannya mula ‘berkarat’ apabila kemarau jaringan dalam lapan aksi berturut-turut selain turut mensia-siakan banyak peluang.
“Anda sangat gembira apabila menjaringkan gol kerana ia sememangnya membantu pasukan mencatat kemenangan. Begitupun, Cole (Palmer) kelihatan tenang.
“Dia sendiri agak bergelut untuk meledak gol sejak kebelakangan ini tetapi situasi ini normal dan kadang-kadang ia boleh berlaku bila-bila masa sahaja.
“Saya tidak bimbang kerana prestasinya semasa sesi latihan sangat bagus. Saya fikir ia (kemarau jaringan) tidak menjejaskan dirinya,” kata Maresca.
Kegagalan Palmer meledak gol sememangnya meresahkan para penyokong Chelsea yang menyaksikan kelab mereka terkeluar daripada kelompok empat teratas dengan menghuni tangga kelima.
Buat masa ini, Chelsea ketinggalan satu mata dengan Manchester City di tempat keempat yang merupakan slot terakhir ke pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Berdasarkan rekod pertemuan, Chelsea dijangka mampu meraih tiga mata susulan empat kemenangan berturut-turut ke atas Leicester dengan kali terakhir mereka tewas empat tahun lalu. – AGENSI