PENYOKONG skuad Harimau Malaya mungkin terus kecewa apabila sekali lagi diberikan harapan palsu apabila penyerang didakwa berpotensi menjadi pemain warisan, Ferdy Druijf turut menafikan pertalian darah dengan Malaysia.
Menerusi audio siar dikeluarkan laman sukan ESPN, Druijf mengakui tidak tahu mengenai salasilah darah Malaysia termasuk ibu bapanya dan hanya mendapat khabar berita tersebut daripada laman pencari bakat di media sosial.
Namun, pemain berusia 27 tahun itu tetap mengambil inisiatif untuk melakukan ujian DNA sekiranya benar nenek kandungnya memiliki darah Malaysia seperti yang didakwa laman media sosial terbabit.
“Ya, ini agak gila sebenarnya, saya kena jujur. Satu akaun di Instagram (laman pencari bakat) tiba-tiba muncul dengan (khabar angin memiliki darah Malaysia) itu.
“Saya tak buat apa-apa mengenainya tetapi semua orang menyebarkan hal itu. Saya benar-benar mendapat pertambahan pengikut di Instagram dan saya tahu semuanya. Ia satu sebab yang gila.
“Dan dia (akaun Instagram itu) berkata, nenek saya ada pertalian darah dengan Malaysia tetapi mungkin mereka lebih mengetahuinya daripada saya.
“Ibu bapa saya pun tidak tahu banyak mengenainya. Jadi mungkin akan terbongkar jika saya lakukan ujian DNA atau sesuatu.
“Saya benar-benar ada ujian DNA di atas meja sekarang, jadi saya fikir, kenapa tidak? Saya akan mencubanya.
“Saya akan lihat apa (keputusan) yang akan keluar, mungkin orang lain lebih tahu daripada saya,” kata Druijf yang kini bergelar ejen bebas selepas tidak terikat dengan mana-mana kelab.
Arena bola sepak negara sebelum ini terpaksa ‘menanggung malu’ apabila beberapa pemain berpangkalan di Eropah telah menafikan ada pertalian darah dengan Malaysia sejak awal tahun ini.
Kapten Burnley yang beraksi di Liga Kejuaraan Inggeris, Josh Brownhill antara pemain yang mengeluarkan kenyataan rasmi apabila mengakui tiada langsung pertalian darah dengan Malaysia.
Pemain Newcastle United, Isaac Hayden turut mengeluarkan kenyataan dengan harapan peminat berhenti mengaitkan dirinya dengan skuad Harimau Malaya.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Rob Friend mendedahkan Harimau Malaya hampir mendapatkan seorang pemain berdarah Belanda yang bagi menyarung jersi skuad kebangsaan tidak lama lagi.