MELAKA – Dua lelaki berusia dalam lingkungan usia 50-an dicekup sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika leka menikmati hidangan teh tarik dan roti bakar di sebuah warung bukan Islam di Bukit Rambai, di sini pagi tadi.
Serbuan menerusi Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan itu dilakukan pada pukul 11.05 pagi selepas pihak JAIM mengesan aktiviti mencurigakan di premis kayu tersebut, yang sengaja dikunci dari belakang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, perbuatan kedua-dua lelaki itu terbongkar apabila pasukan penguat kuasa memasuki premis menerusi tingkap setelah mendapati pintu belakang dikunci.
“Seorang daripada mereka yang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik memberi alasan tidak sihat untuk minum di situ bersama rakannya seorang tukang rumah.
“Namun, alasan kesihatan bukanlah tiket untuk makan secara terbuka di tempat awam, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa,” katanya ketika ditemui pemberita. Operasi turut disertai Pengarah JAIM, Datuk Md. Azhan Samat dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Akmal Nadzim Abdullah.
Mengulas lanjut, Rahmad memberitahu, kesalahan itu tertakluk di bawah Seksyen 49, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan bagi pesalah kali pertama. – KOSMO! ONLINE