KOTA BHARU – Urus niaga di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV di sini terpaksa ditutup pada petang ini selepas 26 khemah menjual makanan dan hidangan rosak dipukul ribut dalam kejadian awal pagi tadi.
Penganjurnya, Tun Ahmad Luqman Tun Mohammad berkata, proses membaik pulih khemah yang rosak dan kerja-kerja pendawaian elektrik sedang dilakukan bagi membolehkan peniaga dalam kembali mencari rezeki secepat mungkin.
“Semua peniaga juga sudah dimaklumkan agar tidak berniaga pada hari ini. Saya hanya mengetahui kejadian itu sebaik dimaklumkan pengawal keselamatan yang dilantik pada pukul 3 pagi.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan, saya ke lokasi dan hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati beberapa khemah di bahagian tepi dan tengah mengalami kerosakan,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga air balang, Azrol Basuki, 20, memberitahu, dia mengetahui mengenai kejadian menerusi kumpulan WhatsApp peniaga bazar pada pukul 6 pagi tadi.
Katanya, bagaimanapun maklumat tersebut telah disampaikan lebih awal pagi pada sekitar pukul 3 pagi.
Seorang peniaga kuih-muih, Nor Asmak Makhtar, 53, berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kerugian dan hanya khemah sahaja yang rosak. – KOSMO! ONLINE