ALOR SETAR – “Jika sebelum ini kami berjuang untuk menghadapi perlawanan demi perlawanan seperti yang sering saya katakan, keadaannya kini sudah berubah kerana kami perlu berjuang hari demi hari,”
Demikian pengakuan pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag sambil menahan sebak mengenangkan nasib pemain dan kelab sebaik tewas 3-2 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Keadaan itu boleh difahami ketika kelibat pemain senior dilihat kian berkurang di tengah padang dan bangku pemain simpanan dengan kekosongan itu terpaksa diisi pemain-pemain muda terdiri daripada empat pemain berusia bawah 23 tahun dan tiga pemain bawah 20 tahun.
Ditanya ke mana perginya pemain itu dan adakah ketiadaan pemain itu berkait rapat dengan isu tunggakan gaji besar melanda pasukan, Victor sendiri tidak memiliki jawapan.
“Tiada jawapan untuk soalan itu kerana saya tak boleh paksa atau marah mereka. Ini detik yang sangat sukar buat kami dan atas faktor apa saya boleh tanya atau marah pemain-pemain ini?
“Anda sendiri tahu perkara itu dan saya sememangnya memberi penghargaan cukup tinggi kepada pemain-pemain yang komited serta berkorban demi pasukan. Tiada kata-kata yang sesuai bagi menggambarkan penghargaan saya kepada pemain-pemain ini.
“Tetapi dalam keadaan sekarang, pasukan ini terpaksa meneruskan perjalanan dengan apa yang kami ada, demi masa depan pemain-pemain itu sendiri.
“Segelintir daripadanya mungkin sudah ada ‘masa depan’ kerana dikenali dalam arena bola sepak tanah air tetapi untuk sebahagian lain, mereka mungkin baru hendak mencari nama dan apabila kita beri peluang, jelas mereka menampilkan karakter sebagai pemain yang bagus,” katanya. – KOSMO! ONLINE