PETALING JAYA – Menyantuni keluarga kekasih, pempengaruh Ameera Khan menghadiahkan ibu Jefri Nichol, Junita Eka Putri sehelai telekung bersempena kehadiran Ramadan.
Ameera atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 24, turut menitipkan bingkisan sama buat adik kepada pelakon dan model sensasi terbabit, Jessi Putri.
“Salam Ramadan Aunty (panggilan kepada Junita) dan Jessi.
“Semoga bulan penuh barakah ini membawa kedamaian untuk Aunty sekeluarga,” katanya menerusi perkongsian di Insta Story.
Menerusi hantaran tersebut, Jessi tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Ameera atas pemberian hadiah diberikan.
“Bagus (cantik). Saya suka sangat. Terima kasih kakak Ameera,” ujar gadis berkenaan.
Secara tidak langsung tanda ingatan dikirimkan ke Indonesia itu menunjukkan keakrabannya dengan ibu serta adik Jefri.
Biarpun kini adik kepada usahawan sensasi Neelofa itu berada di Paris menghadiri majlis pelancaran barang kemas jenama mewah, dia tetap tidak lupa mengembirakan insan penting dalam hidup mereka.
Ameera kini berada di Perancis bagi memeriahkan Minggu Fesyen Paris bersama ramai selebriti antarabangsa termasuk penyanyi K-pop, Kim Seungmin.
Terdahulu, hubungan Ameera dan Jefri pernah putus sekitar Oktober 2021 namun, percintaan mereka kembali bertaut pada penghujung Mac tahun lalu.
Ini ditunjukkan dengan perkongsian gambar dalam media sosial apabila mereka banyak menghabiskan masa bersama.
Bahkan ahli keluarga pempengaruh sensasi itu dilihat merestui percintaan pasangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE