KANGAR – Seorang tahanan reman Pusat Koreksional Perlis meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, lelaki berusia 23 tahun itu sebelum ini ditahan reman sejak 17 Disember lalu bagi kesalahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Mangsa dibawa ke HTF pada 6 Mac kira-kira pukul 5.45 petang dalam keadaan separa sedar selepas dipercayai terjatuh di bilik air pusat koreksional tersebut.
“Pada pukul 10.20 pagi semalam, pegawai perubatan mengesahkan banduan itu telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di ICU,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, hasil pemeriksaan awal mendapati si mati mengalami kecederaan pada organ dalaman, iaitu hati dan sebahagian usus.
Katanya, lelaki tersebut ditahan reman di Pusat Koreksional Perlis di sini sementara menunggu untuk dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah.
Menurut Ahmad Mohsin, pemeriksaan luaran bagaimanapun tidak menemui sebarang kesan lebam atau kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
Ahmad Mohsin berkata, mayat pemuda itu akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah hari ini bagi menjalani proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE