KLANG – Sebuah premis gudang yang menyimpan mercun dan bunga api haram bernilai RM32.2 juta di sekitar Kapar di sini, digempur polis, kelmarin.
Serbuan itu dilakukan pasukan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
Pengarahnya, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, pemeriksaan pihaknya menerusi Op Taring Charlie itu mendapati mercun dan bunga api itu tidak mempunyai permit.
Jelas beliau, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan selepas disyaki bertanggungjawab ke atas premis berkenaan.
“Rampasan melibatkan 25,480 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis selain sebuah kontena dan lori tiga tan. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
Dalam pada itu, Azmi memaklumkan
sebanyak 27,100 karton rokok putih dan 4,560 karton kretek bernilai RM12.8 juta dirampas menerusi Op Taring Alpha di sebuah premis di Bukit Sentosa, Rawang semalam.
Tambahnya, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai penjaga premis dan penghantar barang. – KOSMO! ONLINE