BENARLAH kata orang, rezeki kurniaan Allah SWT sememangnya tidak mengenal usia, pangkat atau rupa paras.
Perumpamaan tersebut boleh ditujukan khas untuk pelakon jelita bernama Rozita Che Wan atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar, 48, apabila sekali lagi dilantik sebagai duta produk penjagaan kulit wajah sebuah jenama tempatan.
Meskipun berbaki dua tahun sebelum mencecah angka 50, dia masih diberi kepercayaan untuk memegang gelaran duta bagi produk kecantikan dan penjagaan wajah.
Duta produk
Wanita yang mesra disapa sebagai Che Ta itu mengakui pada awalnya terkejut kerana masih diberi kepercayaan untuk menggalas peranan tersebut pada usia yang bakal menginjak 50 tahun tidak lama lagi.
Jika dihitung, kali terakhir dia memegang gelaran duta produk penjagaan wajah adalah sekitar lapan tahun lalu iaitu sebagai duta Safi Rania.
“Awalnya pelik juga kenapa saya terpilih dan tertanya masih relevankah wanita yang hampir mencecah usia 50 tahun untuk bergelar jurucakap atau model produk penjagaan kulit wajah.
“Tetapi selepas diterangkan tentang jenis produk, barulah saya tahu bahawa saya akan menjadi duta bagi jenama yang menjual barangan penjagaan wajah untuk wanita berumur 30 tahun ke atas, barulah ada logiknya di situ,” ujarnya.
Melihatkan industri hiburan kini dibanjiri dengan ramai selebriti muda yang cantik dan jelita, pelakon yang pernah terkenal menerusi drama Kiah Perkasam itu tidak perlu bersaing untuk mendapatkan peranan sebagai duta.
“Saya rasa tidak perlu bersaing kerana setiap individu mempunyai kriteria berbeza. Mungkin ada sesetengah produk bersesuaian dengan karakter dan imej saya.
“Sebagai contoh, saya jadi jurucakap jenama barang kemas, jadi sebut sahaja Che Ta, orang akan ingat perhiasan mewah tersebut. Malah, barang kemas memang sinonim dengan saya yang suka melaram.
“Sama juga dengan produk kecantikan, saya seorang yang selalu ingin tampil cantik, jadi memang sesuailah jenama ini dengan imej dan gaya hidup seorang Che Ta,” ujarnya kepada HibGlam selepas majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta produk kecantikan Mylea baru-baru ini.
Tutur anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, sebelum bersetuju menjadi duta, dia memastikan produk yang akan dipromosikan mengandungi bahan-bahan yang diiktiraf dan disahkan oleh pihak berwajib.
“Ada produk yang beri kesan cepat tetapi memudaratkan pengguna. Jadi, sebelum setuju saya akan pastikan semua bahan yang digunakan selamat dan tidak memberi kesan pada kemudian hari.
“Buat apa cantik dalam tempoh yang pendek tetapi mengakibatkan kulit muka pengguna rosak,” katanya sinis.
Sesetengah individu mungkin takut untuk menerima kenyataan mereka akan menghadapi hari tua tetapi berbeza pula dengan ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.
Tidak takut tua
Isteri kepada pelakon Zain Saidin itu turut berkongsi pengalaman apabila ramai yang mula bertanya tentang perasaannya kerana bakal memasuki usia 50 tahun kelak.
“Memang ada yang sudah mula bertanya, tidak takutkah nak masuk umur 50 tahun?
“Saya jawab tidak takut kerana semua orang akan melalui fasa tersebut dan akan tua juga satu hari nanti. Tiada apa yang perli dirisaukan tentang usia,” katanya.
Apabila ditanya tentang tips penjagaan kesihatan tatkala usia semakin meningkat, Che Ta memberitahu dia tidak mengamalkan apa-apa petua atau mengikut rutin gaya hidup sihat.
“Orang yang rapat dengan saya pasti tahu saya seorang yang sangat suka minuman manis. Misalnya, setiap pagi selepas bangun tidur saya akan cari nescafe ais ‘kaw’ dan biasanya memang saya akan ambil minuman manis sahaja.
“Tiada rutin gaya hidup atau penjagaan pemakanan sihat apatah lagi nak minum air putih, tak lalu nak telan,” ujarnya.
Akuinya, sejak kecil lagi dia tidak suka minum air putih kerana merasakan minuman itu tawar dan tidak enak.
“Sejak dahulu lagi saya memang tak amalkan minum air putih. Bukan apa, saya seperti tidak boleh telan jika air itu kosong, tiada rasa (ketawa),” akuinya.
Bagaimanapun, baru-baru ini dia baru mendapat kesedaran untuk mengamalkan minum air putih.
Puncanya selepas Zain, 36, dimasukkan ke hospital kerana penyakit batu karang tahun lalu.
“Ketika itu saya mula bimbang dan takut bila Zain disahkan ada batu karang sedangkan dia seorang individu yang menjaga kesihatan dan kurang mengambil minuman manis.
“Detik itu saya sedar betapa pentingnya menjaga kesihatan kerana suami saya yang sihat pun ada penyakit,” katanya lagi.
Karier
Menyentuh soal karier seni, Che Ta bersyukur kerana masih diberi rezeki untuk mengekspresikan bakat kepada umum.
“Alhamdulillah rezeki lakonan masih banyak. Selagi saya bekerja, saya akan terus membanting tulang untuk mencari rezeki,” ujarnya yang baru-baru ini muncul menerusi drama Lelaki Lingkungan Cinta lakonan bersama Naim Daniel dan Cik B.
Diusik sama ada dia akan bersara daripada lakonan sekiranya usia menjangkau 50, dengan ringkas Che Ta menjawab: “Tidak buat masa ini. Saya masih banyak tanggungan dan komitmen tambahan lagi dua anak saya, Ammar Effendy, 24, dan Aniq Ezzra, 22, masih belajar. Yuran satu semester sahaja sudah mencecah puluhan ribu.
“Namun, keputusan untuk memperlahankan karier seni itu ada tetapi tunggulah selepas anak-anak sudah mula bekerja dan mampu mencari duit sendiri.
“Lepaskan mereka dahulu, baru hati saya akan senang sedikit,” tuturnya seraya menutup perbualan.