BURIRAM – Bintang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Franco Morbidelli bersedia untuk menghidupkan semula kariernya pada musim 2025 dengan bimbingan ketua kru baharu, Matteo Flamigni.
Selepas beberapa musim yang penuh cabaran, Morbidelli yakin perubahan menyertai pasukan Itali, VR46 Racing Team mampu menjadi titik kebangkitannya.
Sejak beberapa tahun lalu, juara dunia Moto2 2017 itu bergelut untuk menampilkan prestasi terbaiknya selepas kecederaan yang menjejaskan momentumnya di MotoGP.
Berdasarkan pengalaman luas serta kepakarannya dan kerjasama bersama bekas kru pasukan Valentino Rossi, Flamigni dijangka mampu membantu Morbidelli kembali ke prestasi terbaiknya.
“Saya sudah mengenali Matteo (Flamigni) sejak kecil dan sentiasa mengaguminya. Beliau sebahagian daripada kru Vale (Valentino Rossi) dan sebagai peminat Vale, beliau seperti superhero bagi saya. Saya sangat bertuah dapat bekerja dengannya,” kata Morbidelli.
Perubahan pasukan dan ketua kru bukan perkara asing bagi Morbidelli, tetapi kali ini dia percaya hubungan lamanya dengan Flamigni akan mempercepatkan proses adaptasi.
“Menukar ketua kru setiap tahun bukan mudah. Ia memerlukan masa untuk memahami dan menyesuaikan diri, tetapi saya yakin dengan pengalaman Matteo, saya boleh kembali ke tahap terbaik,” tambahnya.
Morbidelli membuka kempen aksi pembuka tirai MotoGP musim ini pada Grand Prix Thailand di Litar Antarabangsa Buriram minggu lalu dengan positif apabila berjaya mengakhiri perlumbaan di tempat keempat. – AGENSI