KUANTAN – Seorang guru mengalami kerugian sebanyak RM228,460 selepas terperdaya dengan penipuan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian di Bera itu bermula pada 29 November tahun lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berumur 59 tahun menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor telefon tidak dikenali.
“Mangsa ditawarkan pakej pelaburan Bitcoin dengan dijanjikan mendapat pulangan lumayan dalam masa yang singkat.
“Mangsa kemudiannya berminat untuk menyertai pelaburan yang ditawarkan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa telah membuat 20 transaksi berjumlah RM228,460 ke dalam 10 akaun bank berbeza.
Katanya, mangsa diminta memindahkan wang lagi namun berasa tertipu lalu tampil membuat laporan polis.
Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Orang ramai dinasihatkan sekiranya ada menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE