IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan salah terhadap bekas Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, enam tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed dalam keputusannya menyatakan, keterangan tambahan yang dibuat bekas amah itu tidak boleh diterima dan menyifatkannya sebagai keterangan ‘dengar cakap’.
Katanya, keterangan tambahan itu juga tidak wajar diberi pertimbangan kerana wujud faktor-faktor lain yang menyebabkan kesahihan keterangan itu diragui.
“Dalam keadaan ini, mahkamah mengekalkan keputusan terdahulu bahawa tiada keraguan munasabah yang berjaya ditimbulkan oleh pihak pembelaan, Dengan itu sabitan patut dikekalkan.
“Bagaimanapun, mahkamah menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Amat Arif Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan yang sewajarnya,” katanya.
Pada 5 Februari lalu, pihak pembelaan mengemukakan penyataan bersumpah bekas amah itu bahawa dia telah memberi keterangan palsu berhubung dakwaan rogol oleh Choo Kiong dan berhasrat menarik balik keterangan tersebut.
Wanita berusia 24 tahun itu memberi keterangan palsu tersebut dengan alasan agar dapat pulang ke Indonesia sebelum kontrak kerjanya berakhir.
Perkara itu dinyatakan sendiri oleh ‘mangsa’ kepada Pathurrahman, 58, yang merupakan peguam beralamat di Sumbawa, Indonesia. – KOSMO! ONLINE