JAKARTA – Indonesia melepasi satu juta kes Covid-19 hari ini ketika negara kepulauan itu melancarkan kempen vaksinasi antara terbesar di dunia bagi membendung pandemik tersebut. koronavirus.
Negara Asia Tenggara yang mempunyai hampir 270 juta penduduk itu merekodkan 1,012,350 kes Covid-19 dan hampir 29,000 kematian, demikian menurut data rasmi.
Bagaimanapun, kadar saringan yang rendah bermaksud angka jangkitan sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.
Sebilangan hospital tidak lagi berupaya menampung bilangan pesakit Covid-19 yang begitu ramai.
“Saya fikir kita (Indonesia) sudah lama mencapai angka satu juta kes Covid-19.
“Kita masih mendaki gunung dan kita tidak tahu di mana puncaknya,” kata ahli epidemiologi Universiti Indonesia, Pandu Riono.
Koronavirus telah membunuh lebih 600 doktor, jururawat dan petugas perubatan lain dengan ramai antara mereka berdepan masalah kekurangan peralatan perlindungan diri.
“Hospital-hospital tidak dapat lagi menampung bilangan pesakit,” katanya.
Pemerintah Indonesia sebelum ini dikecam kerana meremehkan pandemik itu dan kemudian kerana tidak mempunyai stategi yang teratur dalam menangani krisis koronavirus.
Negara yang memiliki sekitar 17,000 pulau itu kini melaksanakan kempen vaksinasi besar-besaran dengan petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi lain menjadi yang pertama menerima suntikan vaksin buatan China, Sinovac.
Pemerintah bercita-cita memberi pelalian koronavirus kepada hampir 182 juta orang dalam tempoh 15 bulan akan datang. – AFP