PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di beberapa negeri sehingga pukul 10 malam ini.
Menerusi kenyataan MetMalaysia, negeri terlibat adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Sarawak, Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Kata MetMalaysia cuaca berkenaan dijangka berterusan hingga awal pagi esok.
“Bagi Kedah amaran cuaca buruk dikeluarkan di daerah Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
“Selain itu di Perak, kawasan yang berisiko diramal melanda daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar dan Batang Padang,” kata kenyataan itu.
Menurut MetMalaysia, di Pahang, cuaca buruk diramalkan berlaku di Tanah Tinggi Cameron, Raub, Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan.
Bagi Sabah dan Sarawak pula, hujan lebat akan lebih tertumpu pada sebelah malam di bahagian pedalaman dan utara Sarawak serta dihampir ke semua bahagian di Sabah. – KOSMO! ONLINE