MELAKA – Penduduk di kawasan Melaka Tengah terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang terjejas banjir menarik nafas lega apabila pemimpin di kawasan itu menyediakan juadah mi dan kuetiau goreng tanpa had kepada semua mangsa.
Bantuan awal yang diberikan ADUN Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem sedikit sebanyak mengurangkan kesulitan yang dialami penduduk khususnya umat Islam untuk menyediakan juadah berbuka.
Sumbangan juadah percuma itu turut diuar-uarkan beliau di laman sosial termasuk akaun rasmi Facebook miliknya.
“Saya sediakan mee goreng dan kuetiau goreng untuk mangsa banjir berbuka puasa @ makan malam secara percuma.
“Boleh mula ambil dari pukul 5 petang di Sekolah Kebangsaan Seri Duyong. Ambil berapa banyak yang diperlukan. Tiada limit. Kecuali tukang masak yang surrender,” tulisnya.
Tambahnya, mangsa yang terjejas juga tidak perlu membuat laporan polis atau mengambil gambar bukti kediaman mereka dinaiki air bagi tujuan mendapatkan bantuan banjir.
“Borang bantuan banjir boleh diambil di Japerun Duyong atau melalui Pengerusi JPKK Kampung masing-masing. Isi borang dan hantar semula. Berdasarkan alamat, saya boleh sahkan kejadian banjir ini,” katanya.
Rata-rata pengguna Facebook yang juga penduduk Melaka mengucapkan terima kasih dan bersyukur atas bantuan diberikan.
“Alhamdulillah semoga dilimpahi rezeki buat YB Helmy diberi kesihatan yg baik..aamiin,” tulis Suhana Yusof.
“Terbaik, tak perlu gambar dan report pun..sesetengah tempat nak semua tu..org tengah susah, lagi tambah susah…YB dah memudahkan urusan mangsa banjir semua,” kata Haliza Ahmad.
Terdahulu, seramai 225 mangsa daripada 65 buah keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan hujan berterusan di negeri ini sejak awal pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, semua mangsa telah dipindahkan ke empat buah PPS yang dibuka di dua daerah iaitu Melaka Tengah dan Jasin.
Sekurang-kurangnya 17 kampung dan 15 taman perumahan di daerah Melaka Tengah serta dua kawasan kampung di daerah Jasin terjejas.-KOSMO! ONLINE