fbpx

K2

Hukum bawa balik makanan bufet Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETIKA Ramadan, hidangan secara bufet mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat di negara ini. – Gambar hiasan

PADA bulan puasa yang lepas, saya sekeluarga berbuka secara bufet. Sebelum pulang, saya telah mengambil beberapa makanan yang tidak habis dimakan di sana dan membungkusnya untuk dibawa balik. Perkara ini sering bermain di fikiran saya sehingga sekarang. Bolehkah saya mengambil makanan tersebut kerana kami telah bayar untuk makanan itu? Seingat saya, tidak ada ditulis di situ bahawa tidak boleh bawa balik makanan. Mohon pencerahan.

JAWAPAN: Secara kebiasaannya, pengusaha perniagaan secara bufet di Malaysia ini mensyaratkan agar makanan dan minuman yang dihidangkan itu mestilah dimakan atau diminum di dalam premis sahaja, dan tidak dibawa keluar. Bahkan, terdapat pengusaha perniagaan bufet ini yang mengenakan bayaran tambahan terhadap makanan dan minuman yang diambil tetapi tidak dihabiskan.

Syarat-syarat yang dinyatakan ini biasanya ditulis dan ditampal pada premis-premis perniagaan bufet.

Justeru itu, apabila pelanggan memasuki premis tersebut dan membayar harga untuk mendapatkan perkhidmatan bufet, ini bermakna pelanggan tersebut juga telah bersetuju dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pengusaha.

Di dalam sesuatu kontrak transaksi kewangan antara dua pihak atau lebih, kesemuanya adalah terikat kepada syarat-syarat yang telah disepakati bersama, berlandaskan kepada hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa

Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang Islam mestilah mematuhi syarat-syarat (yang ditetapkan).”

Pelanggan juga tidak wajar untuk menganggarkan bahawa makanan itu akan dibuang bagi menjustifikasikan tindakannya membawa pulang makanan tersebut.

Hal ini demikian kerana para pengusaha hidangan bufet ini pastinya telah membuat perkiraan mereka dari sudut unjuran untung dan rugi dalam menjalankan perniagaan jualan hidangan secara bufet itu.

Tindakan membawa pulang makanan yang disajikan pastinya akan menyebabkan pengusaha perniagaan tersebut berisiko untuk rugi.

Apatah lagi, sekiranya makanan dan minuman itu adalah daripada kategori yang boleh disimpan semula dan dihidangkan pada hari berikutnya.

Dari sudut pandang ini, jelaslah menunjukkan bahawa perbuatan membungkus makanan di hidangan bufet adalah perbuatan dilarang oleh syarak kerana boleh menyebabkan kemudaratan kepada para peniaga yang akan menanggung kerugian.

Larangan ini adalah bersandarkan kepada hadis diriwayatkan oleh Abu Said al-Khuriy, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh melakukan perbuatan membalas kemudaratan.”

Sekadar hanya telah bayar harga untuk memasuki bufet Ramadan itu juga tidak memadai untuk mengharuskan tindakan membawa balik makanan atau minuman.

Ini kerana seperti yang telah dinyatakan tadi bahawa pelanggan terikat dengan syarat-syarat telah ditetapkan iaitu hanya makan dan minum di premis yang telah disediakan sahaja.

Justeru, tindakan membawa pulang makanan atau minuman daripada hidangan bufet tanpa kebenaran adalah merupakan satu kesalahan dan dikira sebagai mengambil harta orang lain secara batil yang difirmankan oleh Allah SWT, seperti firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.” (Al-Nisā’, ayat 29)

Oleh kerana pengambilan makanan dan minuman daripada hidangan bufet itu tidak mendapat kebenaran, maka nilai makanan atau minuman yang diambil itu mestilah dipulangkan semula kepada pemiliknya seandainya makanan atau minuman yang diambil tersebut telah habis dimakan, atau perlu mendapatkan kebenaran daripada pemiliknya.

Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub bahawa Rasulullah SAW bersabda:“(Kewajipan) ke atas tangan yang mengambil sesuatu (hak) itu untuk memulangkannya semula.”

Melainkan jika ternyata pengusaha atau pemilik perniagaan makanan secara bufet tersebut menyatakan bahawa makanan dan minuman yang disediakan itu boleh dibungkus untuk dibawa pulang, maka pada ketika itu, tiada masalah bagi pelanggan untuk membawa balik. Berdasarkan kepada penjelasan yang telah diberikan di atas, jelaslah bahawa makanan dan minuman yang berlebihan daripada bufet Ramadan tidak boleh sewenang-wenangnya dibawa keluar dari premis perniagaan tersebut, melainkan telah mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan bufet tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI