PETALING JAYA – Ke gunung sudah, kini pasangan merpati dua sejoli Bella Astillah dan Syed Saddiq terus mengundang keterujaan ramai apabila membelah samudera muncul memberikan infaq kepada penduduk di sekitar Semporna, Sabah baru-baru ini.
Hadir dengan menaiki bot dan berbaju sedondon berwarna ungu, mereka disambut meriah oleh para penduduk di kawasan tersebut.
Bella atau nama penuhnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, bersyukur kerana diberi peluang ke Semporna dengan diiringi Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu sepanjang aktiviti tersebut.
“Tiada kata yang mampu menggambarkan kegembiraan kami dapat berkongsi rezeki pada bulan Ramadan yang mulia ini.
“Terima Kasih kepada semua yang bersama-sama menjayakan pemberian sumbangan ini. Tidak lupa juga pada pihak keselamatan iaitu PASKAL TLDM dan PDRM kerana bersama dengan kami, Alhamdulilla.
“Jika hati sentiasa berniat baik, Allah SWT akan pertemukan dengan perkara, tempat dan orang yang baik dan juga kesempatan berbuat baik,” katanya.
Perkongsian tersebut seterusnya meraih pelbagairespons positif termasuk rakan selebriti yang mendoakan jodoh Bella dan Ahli Parlimen Muar itu.
“Semoga hubungan yang terjalin tak akan terputus sampai bila-bila. Tidak kisah kahwin atau kawan, tiada tekanan,” kata Janna Nick.
“Suka sangat. Kalian berdua lakukan perkara baik untuk negara, ini yang kita mahu,” komen Siti Khadijah Halim.
Sementara netizen pula memuji usaha Bella dan Syed Saddiq yang tidak lelah ke pelbagai lokasi untuk menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
“Dalam video ini, Bella nampak lebih Yang Berbahagia (YB) daripada YB sebenar. Sangat ikhlas.
“YB Syed dan Bella saling melengkapi, terus beri inspirasi dan contoh yang baik pada masyarakat,” puji netizen.
Sejak kebelakangan ini, hubungan rapat kedua-dua figura popular terbabit semakin hangat diperkatakan selepas masing-masing dipilih menjadi duta jenama pakaian.
Mereka dilihat banyak meluangkan masa bersama, malah turut berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah, baru-baru ini.
Syed Saddiq juga pernah muncul dalam muzik video lagu nyanyian bekas isteri kepada pelakon Aliff Aziz itu yang berjudul Tapi Bukan Denganmu. – KOSMO! ONLINE